Wednesday, April 8, 2009

Panggilan Ilahi

Salam,


Rabu. Seakan membawa satu sejarah yang tidak akan aku lupakan. Membawa satu lembaran baru dalam aku mengharungi hidup kehadapan. Memberi satu pengajaran kepada aku sebagai manusia dan khalifah yang masih diberikan nyawanya utk terus menjadi penghuni di persinggahan sementara ini. Aku bersyukur keatas Nya, aku masih bernafas menghirup udara segar, melihat keindahan ciptaan alam. Hijau nya hutan-hutan, langit yang terbentang luas, gunung ganang dan bermacam lagi keindahan dihadapan mata.

Namun, apabila sampai masanya, terhentilah nafas, tertutuplah pandangan. Bila Izrail datang memanggil, tercabutlah nyawa, terpisahlah ia dari badan manusia. Yang tinggal hanyalah jasad yang kaku terbaring lesu sebelum dikebumikan. Gelap gelita. Tiada lagi cahaya matahari yang dapat menerangi hidup. Tiada lagi gelak ketawa menjadi peneman. Semuanya diam, bisu. Tangisan menjadi peneman sementara masih berada diatas muka bumi ini. Tangis lah sepuas-puasnya.

Terpisahnya roh dari badan bukan lah boleh dijangka atau ditilik. Ianya milik Yang Maha Esa. Sudah ditetapkan sejak azali bilakah kita umat manusia akan menghembuskan nafas terakhir. Sudah tertulis nama dan tempoh hayat seseorang di atas sehelai daun dan apabila gugurnya daun itu, maka terpisahlah roh dari badan. Tetapi manusia mudah alpa. Lalai dengan kemewahan dunia. Lalai dengan bermacam jenis hiburan dan keraian. Kita sentiasa muda untuk melakukan dosa tetapi tidak pernah tua untuk bertaubat. Mengingati mati jauh sekali. Tetapi mengingati matilah yang boleh membawa kita ke jalan yg sebenarnya. Mengelak kita dari melakukan maksiat. Mengelak mengikut bisikan syaitan yang sentiasa menyesatkan umat Muhammad.

Sedar atau tidak, perginya seseorang mengadap Penciptanya mampu membawa seribu keinsafan dalam diri. Kita cukup tersentak dengan pemergian orang tersayang namun pada masa yang sama dapat memberi seribu satu pengertian kepada kita dalam mencorak kembali kehidupan yang terpesong jauh dari landasannya. Itulah hukum alam. Setiap apa yang terjadi mempunyai hikmahnya. Walaubagaimana sekali pun kita menangisi orang yang telah tiada, mereka tetap tiada. Mereka tetap pergi mengadap Ilahi, kembali kepada pencipta Yang Satu. Kita yang masih berkesempatan meneruskan kehidupan menikmati sedikit keindahan ciptaan nya, perlu redha dengan segala yang terjadi. Ingatlah, setiap yang bernyawa pasti akan menemui mati. Cuma bila, bukan bidang kita untuk mengetahuinya. Janganlah kita menyalahkanNya atas musibah yang menimpa. Telah ditakdirkan begitu. Kita yang masih bernyawa, iringilah pemergian mereka dengan iringan doa semoga mereka ditempatkan di kalangan mereka yang soleh. Hanya doa dan amal jariah mereka yang masih hidup di atas muka bumi ini yang akan menjadi peneman mereka yang telah pergi ke satu alam baru. Alam yang kekal abadi.

Bila Izrail datang memanggil
Jasad terbujur di pembaringan

Seluruh tubuh akan menggigil
Terbujur badan dan kedinginan


Tak ada lagi gunanya harta
Kawan karib sanak saudara

Jikalau ada amal di dunia
Itulah hanya pembela diri

Janganlah mahu dikenang-kenang
Engkau digelar manusia agung

Sedarlah diri tahu diuntung
Sebelum masa lkerenda diusung

Datang masanya insaflah diri
Selimut putih pembalut badan

Tinggal semua yang dikasihi
Berbaktilah hidup sepanjang zaman

Tepat jam 12.30 pagi, 8.4.09 arwah Tok Wan aku telah menghembuskan nafas yang terakhirnya di salah sebuah hospital di Taiping. Marilah kita sama menyedekahkan Al Fatihah kepada arwah dan berdoa semoga arwah diletakkan disamping mereka yang telah dijanjikan syurgaNya. Terkilan kerana tidak sempat untuk menatap arwah utk kali terakhir. Jenazah dikebumikan pada jam 11.00 pagi. Kali terakhir aku menemui arwah ialah pada cuti tahun bari cina januari 2009. Aku juga tidak berkesempatan utk sama-sama memberikan penghormatan terakhir kepada arwah memandangkan aku berada jauh di selatan tanah air. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin..


m fikri




0 comments: